Ahad, 24 April 2016

Earth Day : Bumi Amanah Ilahi

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah kerana masih lagi diberikan ruang untuk kita hidup di bumi ciptaan Ilahi ini. Allah menciptakan manusia dengan segala kesempurnaan. Malahan Allah menciptakan makhluk yang lain sebagai pelengkap hidup di bumi yang hijau ini.

Namun begitu, akal yang Allah ciptakan kepada manusia digunakan dengan cara yang salah sehinggakan tangan-tangan manusia ini melakukan kerosakan di bumi. Firman Allah SWT:

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Ar-Rum : 41)

Hari ini, dunia sibuk berbicara berkenaan fenomena El-Nino. Apakah kita sedar bahawa El-Nino ini mungkin juga ujian yang Allah turunkan sebagai bala diatas kerosakan dunia yang dilakukan oleh manusia? Pemanasan global mengakibatkan sungai semakin kering, ais di kutub semakin mencair, haiwan hilang habitatnya dan alam hilang keseimbangannya. Malangnya manusia terus rakus menarah bukit bukau, menebang pokok dan hutan sibuk membina bangunan pencakar langit.

Kita harus ingat bahawa kita adalah khalifah Allah di muka bumi. Kita juga harus sedar bahawa kita ada amanah pada memelihara dan memulihara alam sekitar. Sabda Rasulullah S.A.W:

“Dunia ini hijau dan cantik, dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.” (HR Muslim)


Ayuh sahabat-sahabat semua bersama mengurus dunia dengan baik. Hargai alam yang Allah kurniakan kepada kita. Hijaukan bumi, pelihara dan pulihara dengan baik sewajar amanah yang Allah berikan kepada kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan